Azizan didesak ambil tindakan
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak didesak menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas pengurusan tertinggi Kolej Universiti Insaniah (Kuin) kerana didakwa terlibat dalam komplot membuat minit mesyuarat palsu untuk digunakan dalam perbicaraan satu kes mahkamah.Desakan tersebut dibuat tidak sampai seminggu selepas sekumpulan pensyarah kolej terbabit bertindak melaporkan penganiayaan dan penderitaan yang terpaksa ditanggung mereka kepada Jabatan Tenaga Kerja berikutan kegagalan pengurusan Kuin membayar gaji bulanan mengikut tarikh sepatutnya.
Seorang kakitangan Kuin yang enggan namanya disiarkan mendakwa, komplot terancang bagi memalsukan minit mesyuarat tersebut dibuat di bawah pengetahuan pengurusan tertinggi kolej berkenaan dengan kerjasama sebuah firma guaman kerana ia dipersetujui dan ditandatangani sendiri pihak terbabit.
Dakwaan kakitangan Kuin itu dikukuhkan lagi dengan akuan bersumpah bekas setiausaha kanan pengurusan tertinggi kolej terbabit, Kamaliah Osman bertarikh 8 Ogos 2012 yang mendedahkan bagaimana beliau diarahkan oleh seorang pengurusan tertinggi Kuin agar menyediakan satu minit mesyuarat palsu.
Jelas kakitangan itu, jika Azizan gagal mengambil sebarang tindakan ke atas pengurusan tertinggi Kuin yang terlibat dalam memalsukan minit mesyuarat tersebut, beliau akan dilihat sebagai seorang Menteri Besar yang mengamalkan nepotisme dan kronisme kronik dalam pentadbiran Kerajaan Pas Kedah.
"Kamaliah dalam akuan bersumpah tersebut dengan jelas mendedahkan beliau diarahkan oleh seorang pengurusan kanan Kuin untuk menyediakan minit mesyuarat palsu sebelum ia dipersetujui dan ditandatangani dan penyelewengan ini sudah didedahkan kepada umum berserta bukti sebelum ini.
"Tapi mengapa sehingga sekarang Azizan tidak mengambil sebarang tindakan malah bertindak membutakan mata dan memekakkan telinga?," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Pada 17 November tahun lalu, akhbar ini telah melaporkan mengenai desakan Badan Bertindak Antipenyelewengan Kedah yang mahu pihak terlibat dalam penyelewengan minit mesyuarat dihadapkan ke mahkamah demi memulihkan kembali imej Kuin selaku salah sebuah pusat pengajian Islam terbaik di negara ini.
Malah, pertubuhan bukan kerajaan sama turut mencabar perwakilan Pas Kedah membuat usul tergempar bagi membincangkan kemelut dihadapi Kuin khususnya mengenai komplot menerbitkan minit mesyuarat palsu itu di muktamar tahunan parti berkenaan di Kota Bharu, Kelantan, hujung tahun lalu tetapi ia tidak disahut.
Dalam pada itu, kakitangan tersebut berkata, jika Azizan gagal bertindak, Menteri Besar Kedah tersebut perlu diberi pengajaran secukupnya kerana beliau yang bertanggungjawab melantik pengurusan tertinggi Kuin dan dilihat seolah-olah mempertahan individu berkenaan walaupun disajikan dengan pelbagai bukti penyelewengan.